FALSAFAH PENIAGA
MELAYU
Gerbang
Perjuangan Lambang Pengorbanan
Banyak peniaga
gagal kerana bersikap hangat-hangat tahi ayam dan sekadar suka mengikut orang.
Apabila orang lain berniaga, maka dia pun hendak berniaga. Berniaga tidak boleh
pakai ikut-ikut dan dilakukan sekadar suka-suka sahaja. Berniaga boleh
dijadikan sebagai hobi tetapi bukan bagi mengisi masa lapang. Lebih-lebih lagi
sebagai permainan bagi menyeronokkan hati semata-mata. Perniagaan adalah bidang
yang serius yang menuntut sepenuh perhatian, tenaga, komitmen, masa dan pengorbanan yang
tidak sedikit. Ia juga satu bentuk perjuangan yang menentukan hidup
matinya seseorang peniaga. Perniagaan ibarat maruah diri yang dipertahankan.
Tidak ada orang suka gagal. Hanya orang yang pernah gagal dalam perniagaan yang
dapat merasakan erti kegagalan yang sebenar. Rasa malu, tertekan dan
seolah-olah maruah sudah tercabut daripada dirinya.
Dalam falsafah
niaga orang Melayu, peniaga tidak boleh mengharapkan keuntungan sebaik
sahaja memulakan perniagaannya. Mereka perlu bersiap sedia menghadapi segala
kemungkinan seperti kerugian dan kegagalan pada peringkat awal. Untuk itu,
mereka perlu mempunyai modal yang kuat dan sumber kewangan yang dapat digunakan
sepanjang tempoh kritikal itu. Keuntungan yang diperoleh sebaik-baiknya tidak
dibelanjakan. Jika boleh, jangan diusik. Keuntungan perlu digunakan bagi
menambahkan modal pusingan dan membuat pelaburan. Keuntungan yang bakal
diperoleh bergantung pada berapa banyak pelaburan yang sudah dilakukan. Jadi,
setiap perniagaan perlu dirancang dengan teliti, diurus dengan betul dan
diusahakan dengan sepenuh hati.
Setiap peniaga
perlu bersikap peramah, tidak kedekut dengan senyuman dan bersedia memberikan
layanan serta perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Mereka tidak boleh
mencampuradukkan masalah peribadi dengan urusan perniagaan. Dalam berniaga,
jangan sesekali mencari musuh tetapi carilah seberapa ramai kawan dan kenalan.
Semua ini harus terbit daripada hati nurani hasil kesungguhan dan minat yang
tinggi dalam perniagaan. Usah berpura-pura dan berlakon. Sikap yang dibuat-buat
akan disedari oleh pelanggan dan mereka yang datang berurusan. Pelanggan tidak
suka kepada peniaga yang sombong, bongkak dan angkuh.
Peniaga tidak
seharusnya berlagak pandai tetapi perlu sentiasa menawarkan khidmatnya kepada
pelanggan pada bila-bila masa sahaja. Setiap pelanggan mahu dilayan seperti
raja. Jadi, tiada ruginya jika peniaga bersikap merendah diri dan berbudi
bahasa.
Bagi mereka yang
mahu menjadi peniaga ataupun usahawan yang berjaya, segala sifat negatif itu
perlu dibuang dan digantikan dengan sikap positif. Peniaga perlu ingat mereka
bukan sahaja menjual barang dan khidmat tetapi imej diri. Imej peniaga yang
baik adalah mampu memenuhi segala per-mintaan dan harapan pelanggannya. Mereka
juga perlu memastikan setiap barang dan perkhidmatan dapat dihantar ataupun
disiapkan tepat pada masanya. Pelanggan akan lebih yakin pada peniaga. Secara
psikologinya, ia akan mendatangkan kepercayaan orang ramai supaya berurusan
dengannya. Proses ini perlu berkekalan dan berlanjutan. Sikap lewa dan buat
kerja separuh jalan tidak seharusnya wujud dalam sebarang bentuk amalan
perniagaan. Sama ada perniagaan itu milik keluarga ataupun tidak, ia perlu
dilaksanakan seolah-olah ia adalah titik peluh kita sendiri.
Mereka yang
menceburi bidang perniagaan dianggap sebagai wira kerana berani mengambil
risiko dan tidak takut berdepan dengan kegagalan ataupun kerugian. Bagi orang
Melayu, tanpa rugi tidak mungkin akan datang untung dan seterusnya kejayaan
dalam apa sahaja lapangan yang diusahakan. Orang Melayu jarang
memandang rendah kepada mereka yang gagal dalam perniagaan. Ia dianggap sebagai
langkah awal bagi menuju kejayaan. Orang Melayu memandang tinggi
kepada mereka yang mahu berusaha di mana galakkan dan peluang akan diberikan
kepada sesiapa yang hendak melibatkan diri dalam perniagaan.
Justeru, orang
Melayu tidak mudah putus asa apabila gagal kali pertama dan buat ke sekian
kalinya. Ini kerana, matlamat utama mereka menceburi perniagaan adalah hendak
membina asas kewangan yang lebih kukuh dan selamat bagi jaminan kehidupan
keluarga pada masa hadapan. Mereka tidak mengharapkan keuntungan besar dalam
sekelip mata. Bagi mereka, cukuplah jika untung sedikit tetapi biar berterusan
sampai bila-bila. Yang penting adalah perniagaan itu dapat memberikan punca pendapatan
bagi menampung segala perbelanjaan keluarga. Sebahagian daripada keuntungan itu
perlu disimpan bagi mengembangkan perniagaan dan menghadapi sebarang
kemungkinan di luar jangka. Sebahagian lagi digunakan sebagai modal pusingan.
Jika keuntungan digunakan bagi menampung perbelanjaan harian yang bersifat
peribadi, ia akan mengundang kesulitan kepada peniaga. Bagi mengelakkan perkara
ini berlaku, peniaga tidak boleh bersikap boros dan melakukan pembaziran dengan
membeli perabot mahal, perhiasan mewah dan berbelanja dengan sewenang-wenangnya
menurut nafsu.
Peniaga baru
perlu secara sederhana. Jangan suka menunjuk-nunjuk kerana ia adalah sikap yang
tidak memberikan keuntungan. Tidak ada gunanya mempunyai premis perniagaan yang
cantik, kereta mewah dan berpakaian seperti tokoh korporat besar jika
perniagaan lingkup separuh jalan. Semua itu boleh datang dengan sendiri apabila
perniagaan mulai stabil dan mendatangkan pulangan untung yang lumayan. Amalan
dan pemikiran sebegini perlu ditanam dengan kejap dalam mentaliti semua
peniaga. Peniaga mungkin sedar berkenaan perkara ini. Cuma yang menjadi
masalah, tidak ramai yang berupaya mempraktikkan dan menjelmakannya dalam
kehidupan mereka seharian.
Persaingan yang
sihat menguntungkan semua pihak. Manakala persaingan yang tidak adil tidak akan
membawa apa-apa keuntungan kepada mana-mana pihak. Jika ada pihak yang mendapat
keuntungan sekalipun, ia hanya bersifat sementara dan tidak akan dapat
bertahan. Bahkan akan menjadi faktor yang mempercepatkan kejatuhan dan kehancuran
dalam bidang perniagaan. Bagi menggelakkan terjadinya persaingan yang tidak
sihat, orang Melayu tidak digalakkan melibatkan diri dalam bidang
perniagaan ataupun menjual barangan yang sama. Skop perniagaan mungkin sama
tetapi pendekatan yang digunakan dan produk yang dijual adalah berbeza.
Syabas Anak
Malayu-Penaung KKDSTTM
0 comments:
Post a Comment